Oleh : Prof Madya Dr Mohamad Azmi Bin Nias Ahmad
Sukan Malaysia 2024 sudah semakin hampir. Ketika artikel ini ditulis SUKMA tinggal 21 hari sahaja lagi. Atlet rata-ratanya sudah bersedia bagi menghadapi sukan dwi-tahunan yang berprestij ini.
Dalam kebanyakkan acara yang dipertandingkan, atlit perlu melalui perlawanan kalah mati yang kadang-kala amat sukar dan sengit. Di sini penulis ingin mencadangkan beberapa langkah mudah untuk para atlet bersedia dari segi mental bagi menghadapi format pertandingan ini.
Untuk menjadi juara, atlit perlu berfikiran positif dan membayangkan kesempurnaan dalam setiap pergerakkan yang ingin dilakukan. Atlit perlu membayangkan apa yang perlu dilakukan dan sentiasa memberi penumpuan total. Jika tumpuan terganggu di akibatkan oleh perkara-perkara tertentu, atlit perlu belajar untuk bercakap dengan diri sendiri dan berfikiran positif bagi mengembalikan tumpuan.
Latihan mental yang berterusan perlu dilakukan untuk membantu atlit bertindak secara bijak. Ini supaya atlit tidak mempunyai ruang untuk bertindak secara negatif. Penumpuan terhadapat permainan amat sukar jika atlit menyalahi diri sendiri dan rakan sepasukan atau menganggap lawan terlalu sukar untuk dikalahkan. Oleh yang demikian, atlit perlu fokus terhadap matlamat yang telah mereka tetapkan.
Salah satu strategi yang boleh diguna pakai ketika menghadapi pihak lawan ketika perlawanan kalah mati ialah kebolehan untuk melupakan kesilapan yang telah dilakukan. Ini bagi membolehkan atlit fokus pada langkah atau strategi yang ingin mereka lakukan. Atlit akan berasa tenang, dapat memberi penumpuan dan tidak terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan. Walaubagaimanapun, atlit yang bijak pada kebiasaannya menganalisa kesilapan yang dilakukan dan terus melupakan kesilapan.
Selain daripada itu, atlit perlu juga membiasakan diri dengan tekanan pertandingan. Tekanan, dan kegugupan adalah perkara biasa yang dihadapi oleh atlit sewaktu pertandingan. Untuk mengawal kesemua perasaan ini, seseorang atlit itu perlu mengawal dan memberi penumpuan pada matlamat yang ingin dicapai. Jika tekanan dan kegugupan tidak dapat dikawal, atlit akan hilang fokus dan akan memberi kemenangan yang mudah pada pihak lawan disebabkan minda atlit tidak bersedia untuk bertanding.
Cara untuk membiasakan diri dengan tekanan pertandingan ialah dengan mengadakan perlawanan (sparing) sekerap mungkin dan menyertai pertandingan. Atlit perlu ada semangat melawan yang tinggi (fighting spirit) dan sentiasa membayangkan yang atlit sedang mempertaruhkan maruah mereka. Walaubagaimanapun, ketika pertandingan atlit perlu memfokuskan untuk memberi persembahan terbaik daripada inginkan kemenangan semata-mata kerana tindakan ini akan memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada atlit.
Dan yang paling penting, atlit perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Seperti contoh hujan, kerosakan peralatan, kehilangan peralatan, pakaian tambahan, makanan tambahan dan sebagainya. Atlit perlu berlatih dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan ini untuk berjaya.