PUNCAK ALAM, 28 Ogos 2026 — Program Diploma Perakaunan, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka terus mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima enam anugerah kecemerlangan bagi semester Oktober 2025 hingga Februari 2026.
Anugerah tersebut disampaikan sempena pertemuan pengurusan akademik Fakulti Perakaunan yang berlangsung pada 27 dan 28 Ogos 2026 di Bilik Mesyuarat Kristal dan Bilik Mesyuarat Platinum, UiTM Puncak Alam. Program ini dihadiri oleh semua Ketua Pusat Pengajian serta Koordinator Cawangan Fakulti Perakaunan.
Enam anugerah yang diterima oleh UiTM Kampus Jengka ialah:
- Anugerah Peratusan Anugerah Naib Canselor Tertinggi bagi Diploma Perakaunan
- Anugerah Peratusan Anugerah Dekan Tertinggi bagi Diploma Perakaunan
- Anugerah Peratusan Kegagalan Kursus Terendah, iaitu sifar peratus, bagi Diploma Perakaunan
- Anugerah Peratusan Graduan Bergraduat Tepat pada Masanya melebihi 90 peratus bagi Diploma Perakaunan
- Anugerah Pencapaian Kualiti Akademik Terbaik bertaraf lima bintang bagi Diploma Perakaunan
- Anugerah Peratusan Pelajar Bergraduat dengan CGPA melebihi 3.00 Tertinggi bagi Diploma Perakaunan
Pencapaian cemerlang ini membuktikan keberkesanan usaha berterusan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dalam memperkukuh kualiti pengajaran, pembelajaran dan pemantauan akademik pelajar. Kejayaan mencapai kadar kegagalan kursus sifar peratus serta peratusan graduan bergraduat tepat pada masanya melebihi 90 peratus merupakan petunjuk penting terhadap keberkesanan strategi akademik yang dilaksanakan.
Pengiktirafan bagi pencapaian Anugerah Naib Canselor, Anugerah Dekan dan graduan dengan CGPA melebihi 3.00 turut menyerlahkan keupayaan pelajar Diploma Perakaunan UiTM Kampus Jengka untuk mencapai prestasi akademik pada tahap yang membanggakan.
Kejayaan ini merupakan hasil komitmen dan kerjasama erat antara pihak pengurusan, pensyarah, staf sokongan, penasihat akademik serta para pelajar. Bimbingan yang konsisten, pemantauan prestasi secara sistematik, intervensi akademik yang bersesuaian dan kesungguhan pelajar telah menyumbang kepada pencapaian tersebut.
Enam anugerah ini bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah menjadi pemangkin kepada seluruh warga Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang untuk terus mempertingkat mutu penyampaian akademik serta melahirkan graduan perakaunan yang berilmu, kompeten, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran dunia profesional.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka atas pencapaian luar biasa ini. Semoga kecemerlangan tersebut dapat dikekalkan dan dipertingkatkan pada semester yang akan datang.
#wargaFPNPahang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan