Alhamdulillah.
Hari ini saya memegang sekeping sijil (click here), tetapi yang terasa berat sebenarnya ialah kenangan.
20 tahun bersama UiTM bukan sekadar angka. Ia adalah helaian hidup. Di sinilah saya belajar jatuh dan bangun, kecewa dan bangkit, hilang dan mencari semula makna. Saya datang sebagai seorang pensyarah muda, dan hari ini saya berdiri sebagai seorang manusia yang jauh lebih sedar bahawa hidup bukan tentang laju, tetapi tentang arah.
Sejak 2006, memanah juga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini di UiTM Pahang (click here). Bayangkan dari kosong pemanah ni menang emas SUKMA, MASUM, Asean University Games, SUKAN SEA dan World Cup 2015. Ia bermula sebagai ingin membantu, tetapi akhirnya menjadi guru kehidupan. Setiap anak panah mengajar saya fokus, sabar, dan redha kerana tidak semua anak panah akan mengena, walaupun niat kita betul dan tangan kita tidak goyang. Di padang memanah, saya belajar bahawa kejayaan bukan tentang siapa paling kuat, tetapi siapa paling tenang. Pelajaran itu saya bawa ke bilik kuliah, ke pejabat, ke kehidupan.
Namun tahun 2025 mengubah segalanya.
Sakit yang datang secara tiba-tiba membuatkan saya berhenti seketika (click here). Untuk pertama kali dalam hidup, saya tidak berlari. Saya duduk. Saya diam. Saya dengar tubuh saya berbicara, dan saya dengar hati saya menangis perlahan. Ketika itu saya sedar, selama ini saya terlalu sibuk "memberi" hingga lupa menjaga diri sendiri.
Sakit itu bukan hukuman. Ia peringatan!!!
Bahawa hidup ini bukan sekadar berkhidmat, tetapi juga untuk disyukuri. Bahawa manusia yang kuat juga perlu berehat. Dan bahawa kesetiaan yang paling sukar sebenarnya ialah kesetiaan kepada diri sendiri.
Sijil Khidmat Setia ini kini saya pandang dengan mata yang berbeza. Ia bukan lagi simbol tempoh, tetapi simbol ketahanan. Simbol doa yang dijawab perlahan-lahan. Simbol perjalanan yang penuh luka, tetapi tidak pernah kosong daripada makna.
Jika esok masih diberi ruang, saya akan terus berkhidmat TETAPI bukan dengan tergesa-gesa, tetapi dengan hati yang lebih sedar, jiwa yang lebih tenang, dan niat yang lebih jujur.
Terima kasih UiTM, kerana menjadi sebahagian daripada hidup saya.
Dan terima kasih kepada sakit itu, kerana mengajar saya melihat hidup dengan mata yang baharu.
—----------------------------------------------------
Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi Nias Ahmad
UiTM Pahang | 26 Jan 2026
Tiada ulasan:
Catat Ulasan