Dalam sukan memanah, kita sering bercakap tentang teknik, peralatan, kekuatan busur, kestabilan anchor, release, follow-through dan jumlah anak panah yang dilepaskan ketika latihan. Namun selepas lebih tiga dekad berada bersama dunia memanah, satu perkara semakin jelas, iaitu pada tahap pertandingan yang tinggi, pemanah bukan sekadar bertanding dengan lawan di sebelahnya. Dia turut bertanding dengan tekanan, emosi, fikirannya sendiri dan keupayaannya untuk kekal dalam proses.
Atas kesedaran inilah pendekatan e-buku Mentaliti Juara Pemanah Pahang perlu menjadi sebahagian daripada budaya pembangunan memanah Pahang. Ia bukan e-buku yang hanya digunakan beberapa hari sebelum pertandingan. Sebaliknya, latihan mental perlu bergerak seawal latihan dan bersama latihan teknikal dan fizikal sepanjang perjalanan seorang atlet.
E-buku Mentaliti Juara Pemanah Pahang sendiri membawa satu mesej yang jelas:
“Tenang. Fokus. Bersatu. Bangkit.”
Prinsip ini sangat dekat dengan realiti dunia memanah. Ada pemanah yang sangat baik semasa latihan, tetapi prestasinya berubah apabila masuk pertandingan.
Ada pula pemanah yang mungkin tidak terlalu menonjol ketika latihan, tetapi apabila pertandingan bermula, dia menjadi sangat tenang, konsisten dan sukar digugat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan