KUANTAN, 8 Ogos 2026 - Satu sesi Ceramah Persediaan Mental dan Pengukuhan Pasukan Atlet Memanah Pahang telah diadakan sebagai sebahagian daripada persiapan akhir pasukan menghadapi SUKMA 2026.
Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi Nias Ahmad, dengan fokus kepada pembinaan kekuatan mental, pengurusan emosi, fokus pertandingan, semangat berpasukan serta kemampuan atlet untuk bangkit selepas melakukan kesilapan atau berhadapan kekalahan.
Sesi ini dihadiri oleh 15 orang atlet memanah Pahang. Seorang atlet, Muhammad Haiqal Danish, tidak dapat hadir kerana masih bersama pasukan kebangsaan.
Turut hadir ialah pengurus pasukan serta tiga orang jurulatih. Seorang jurulatih, Muhammad Aman, tidak dapat bersama dalam sesi tersebut kerana sedang menjalankan tugas di SUKUM.
Ceramah dilaksanakan secara interaktif dan bukan sekadar penyampaian teori. Para atlet turut diberikan modul latihan dan aktiviti refleksi bagi membantu mereka mengenal pasti kekuatan, tekanan serta strategi mental masing masing sebelum turun bertanding.
Lima fokus utama yang disampaikan dalam ceramah ialah “Why We Fight”, iaitu memahami sebab dan tujuan sebenar seseorang atlet berjuang; “How to Stay Calm”, berkaitan teknik mengawal tekanan dan emosi; “How to Focus”, dengan penekanan kepada konsep satu anak panah pada satu masa; “How to Be in One Team”, bagi membina semangat dan kepercayaan sesama ahli pasukan; serta “How to Manage Winning and Loss”, iaitu bagaimana atlet merai kemenangan dan menerima kekalahan, membuat reset mental setelah melakukan panahan yang tidak baik dan kembali memberi fokus kepada panahan berikutnya.
Antara mesej utama yang ditekankan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi Nias Ahmad ialah bahawa kejayaan dalam memanah bukan hanya ditentukan oleh kekuatan fizikal dan teknik, tetapi juga oleh kemampuan atlet mengawal fikiran ketika berada di bawah tekanan dan yang TERPENTING ialah bertawakal dan memohon kepada sang pencipta untuk diberi kemenangan.
“Atlet tidak perlu cuba mengawal keputusan akhir. Kawal apa yang boleh dikawal yakni pernafasan, rutin, teknik, fokus dan anak panah yang sedang berada di hadapan kita.”
Beliau turut menekankan bahawa satu anak panah yang kurang baik tidak seharusnya menentukan keseluruhan pertandingan.
“Anak panah yang sudah dilepaskan sudah menjadi sejarah. Jangan bawa kesilapan itu kepada anak panah berikutnya. Reset, percaya kepada proses dan mulakan semula.”
Dalam aspek semangat berpasukan, atlet diingatkan bahawa walaupun mereka berdiri secara individu di shooting line, mereka sebenarnya membawa nama dan perjuangan seluruh Pasukan Memanah Pahang.
Ceramah turut menekankan bahawa setiap atlet mempunyai tanggungjawab untuk menyokong rakan sepasukan terutama ketika berhadapan tekanan. Kata kata yang positif, bahasa badan yang baik serta sokongan antara atlet boleh menjadi faktor penting dalam mengekalkan kestabilan emosi pasukan.
Melalui latihan yang diberikan, atlet diminta mengenal pasti “Why” masing masing, tahap tekanan peribadi, perkara yang berada dalam kawalan mereka serta rutin mental yang akan digunakan ketika pertandingan.
Pendekatan ini bertujuan memastikan persediaan mental atlet tidak berhenti selepas tamat ceramah, sebaliknya dapat terus diamalkan dalam sesi latihan dan dibawa bersama ketika bertanding di SUKMA.
Menjelang temasya tersebut, atlet diseru supaya terus mempercayai latihan yang telah dilalui, jurulatih yang membimbing mereka, rakan sepasukan dan kemampuan diri sendiri. Yang utama mohon pada sang pencipta untuk buangkan ketakutan, berikan keberanian dan dizahirkan kemenangan.
Pesanan akhir yang diberikan ialah:
“Tenang. Fokus. Percaya kepada proses. Satu anak panah pada satu masa.”
Semoga sesi ini menjadi salah satu pengukuhan terakhir kepada persediaan Pasukan Memanah Pahang dalam membawa cabaran negeri di SUKMA 2026.
#pahangfirst








Tiada ulasan:
Catat Ulasan