25 Februari 2026

Tazkirah 7 Ramadhan - “Ramadhan Mendidik Sabar"


Alhamdulillah, kita melangkah ke 7 Ramadhan. Minggu pertama hampir berlalu. Pada fasa ini, ujian Ramadhan biasanya mula terasa berbeza. Jika awalnya kita sibuk menyesuaikan diri dengan lapar dan dahaga, kini ujian yang lebih mencabar mula tiba: emosi, reaksi, dan kesabaran. Sebab itu tazkirah hari ketujuh ini mengajak kita menilai satu “produk” utama puasa iaitu sabar.

Sabar bukan bermaksud kita tidak rasa apa apa. Sabar bukan bermaksud kita sentiasa tenang tanpa respon. Sabar ialah kemampuan mengawal diri ketika hati sedang bergelora. Dalam bahasa mudah, sabar ialah kekuatan untuk memilih reaksi yang betul walaupun kita sedang diuji. Dan Ramadhan adalah madrasah sabar yang paling terbaik, kerana puasa menguji kita setiap hari dengan perkara yang berulang: lapar, letih, tekanan kerja, keluarga, kesesakkan jalan raya, ragam manusia, dan gangguan kecil yang kadang kadang menjadi besar bila perut kosong.

Puasa mengajar kita bahawa kemenangan sebenar bukan bila kita “membalas”, tetapi bila kita mampu menahan. Bila orang menyindir, kita tidak perlu menyindir kembali. Bila orang meninggi suara, kita tidak wajib meninggi suara juga. Bila orang memprovokasi, kita tidak semestinya 'triggered'. Ramadhan mendidik kita untuk menang dalam tanpa kita sedar. Menang kerana Allah, bukan menang kerana ego. Kadang kadang, satu tindakan paling kuat ialah diam yang beradab, bukan membalas dengan kata kata yang menyakitkan.

Dalam kehidupan seharian, ramai orang boleh sabar pada perkara besar, tetapi gagal sabar pada perkara kecil. Contohnya, sabar bila ditimpa musibah, tetapi tidak sabar bila internet perlahan. Sabar bila diuji sakit, tetapi tidak sabar bila anak buat bising. Sabar bila ditimpa masalah kewangan, tetapi tidak sabar bila orang potong barisan. Ramadhan datang untuk memperbetulkan ini. Ia melatih kita mengurus reaksi terhadap “gangguan harian” yang sebenarnya membentuk karakter kita.

Salah satu punca kita cepat marah ialah kerana kita terlalu sayang pada “hak diri”. Kita rasa kita mesti dihormati. Kita rasa kita mesti betul. Kita rasa orang lain mesti ikut cara kita. Bila hak itu disentuh, kita meletup. Sedangkan dalam Islam, kemuliaan bukan pada siapa paling kuat berhujah atau paling bagus membalas balik, tetapi pada siapa paling mampu mengawal diri. Sabar itu bukan kelemahan. Sabar itu kuasa unggul (superpower). Tidak seperti Hulk yang jadi superhero bila marah. Orang yang sabar bukan orang yang kalah, tetapi orang yang menang melawan dirinya sendiri.

Hari ke 7 Ramadhan ini juga sesuai untuk kita latih sabar melalui adab komunikasi. Sebelum bercakap, tanya tiga soalan: adakah ini benar, adakah ini perlu, dan adakah ini baik cara penyampaiannya. Banyak dosa lidah berlaku bukan kerana kita mahu jahat, tetapi kerana kita bercakap terlalu cepat. Puasa sepatutnya memperlahankan lidah, melembutkan suara, dan mematangkan kata. Bila kita menjaga lidah, kita sebenarnya sedang menjaga puasa kita daripada menjadi kosong.

Selain sabar terhadap manusia, Ramadhan juga mendidik sabar dalam ibadah. Ada hari kita rasa ringan solat tarawih, ada hari kita rasa berat. Ada hari kita rajin baca al Quran, ada hari kita malas. Istiqamah memerlukan sabar. Jangan tunggu rasa “selesa” baru hendak beramal. Kadang kadang, amal yang paling bernilai ialah amal yang kita buat ketika kita tidak rasa apa apa, tetapi kita buat kerana taat. Itulah tanda hati sedang dididik.

Sabar juga berkait rapat dengan harapan. Orang yang sabar percaya bahawa Allah sedang mengatur sesuatu yang baik. Orang yang sabar yakin bahawa setiap penahanan diri kerana Allah tidak akan sia sia. Setiap kali kita menahan marah, menahan balas, menahan kata pedas, Allah sedang menulis pahala yang besar. Kita mungkin tidak nampak hasilnya hari ini, tetapi sabar membina masa depan. Ia membina rumah tangga yang lebih damai, tempat kerja yang lebih harmoni, dan jiwa yang lebih tenang.

Akhirnya, jadikan 7 Ramadhan sebagai hari latihan sabar yang praktikal. Pilih satu perkara yang paling mudah membuat kita emosi, dan latih diri untuk bertindak lebih tenang. Mungkin dengan diam beberapa saat sebelum menjawab. Mungkin dengan senyum walaupun hati berat. Mungkin dengan memaafkan walaupun kita mampu membalas. Kerana di situlah puasa sedang berjaya: bila ia mengubah reaksi kita.

Ya Allah, kurniakan kami hati yang sabar, lidah yang terjaga, dan akhlak yang lembut. Jadikan Ramadhan ini madrasah yang membentuk kami menjadi hamba yang kuat menahan diri, bukan hamba yang cepat dikuasai emosi. Amin.

PM Dr MANA
25 Febuari 2026

Tiada ulasan:

Catat Ulasan