Alhamdulillah, kita kini berada pada 13 Ramadhan. Semakin kita menghampiri pertengahan bulan, semakin penting untuk kita menilai bukan sahaja apa yang kita buat pada siang hari, tetapi apa yang kita hidupkan pada malam hari. Ramadhan bukan sekadar puasa dari Subuh ke Maghrib. Ramadhan juga tentang malam yang dihidupkan dengan ibadah, doa, al Quran, dan muhasabah. Malam Ramadhan adalah hadiah yang besar, kerana di situlah ramai hamba menemukan semula Tuhan, menemukan semula dirinya, dan menemukan semula ketenangan.
Dalam dunia yang hingar bingar dengan pelbagai masukan positif mahupun negatif, duduk dalam keadaan sunyi menjadi nikmat yang amat mahal harganya. Siang kita bekejar ke kerja, tanggungjawab keluarga, tugasan kerja yang tak pernah habis, kesesakan trafik, urusan lain-lain yang menimbun, notifikasi yang masuk tidak berhenti, dan pelbagai gangguan. Minda dan hati jadi penat, fikiran jadi sesak. Sebab itu Allah beri kita malam, dan Ramadhan mengajar kita untuk menggunakan malam sebagai ruang pemulihan rohani. Bukan semestinya sepanjang malam, tetapi sekurang kurangnya ada satu bahagian malam yang kita hadiahkan diri kita untuk beribadat dan mengadu kepada Allah. Walaupun hanya 10 minit, tetapi konsisten, itu sudah satu kemenangan besar.
Hidupkan malam bukan bermaksud kita perlu melakukan ibadah yang berat dan panjang sampai kita tidak mampu. Hidupkan malam bermaksud kita memilih untuk kembali kepada Allah ketika manusia lain sedang lena tidur ataupun ada yang sedang lalai. Ada orang menghidupkan malam dengan tarawih berjemaah. Ada yang menambah witir dengan khusyuk. Ada yang membaca beberapa halaman al Quran dengan tenang. Ada yang duduk seketika menangis dalam doa. Semua itu adalah bentuk “menghidupkan malam”. Yang penting ialah hati hadir, bukan sekadar tubuh berdiri.
Pada 13 Ramadhan ini, kita juga perlu sedar bahawa ibadah malam membina satu perkara yang sangat penting: kejujuran. Ibadah siang mudah dilihat orang. Tetapi ibadah malam selalunya tersembunyi. Bila kita bangun di waktu sunyi, solat tanpa kamera, tanpa pujian, tanpa manusia, itu tanda hati sedang berlatih ikhlas. Dan ikhlas adalah rahsia kekuatan seorang mukmin. Amal yang kecil tetapi ikhlas boleh mengubah hidup. Amal yang besar tetapi penuh riak boleh kosong nilainya.
Selain ikhlas, ibadah malam juga menjadi ruang muhasabah yang sangat jujur. Pada malam hari, kita lebih mudah memandang ke dalam hati kita. Kita lebih mudah mengaku kesalahan. Kita lebih mudah sedar kelemahan. Ada perkara yang kita tidak sempat fikir di siang hari kerana terlalu sibuk, tetapi malam membuka ruang untuk kita bertanya: apa tujuan hidup aku. Ke mana aku sedang berjalan. Apa dosa yang paling aku ulang. Apa nikmat yang aku sia siakan. Dan apa perubahan yang aku mahu bawa keluar selepas Ramadhan.
Ramadhan juga mengajar kita bahawa kekuatan jiwa tidak selalu lahir daripada banyak bercakap, tetapi lahir daripada banyak berzikir dan berdoa. Dalam sunyi malam, zikir menjadi lebih terasa. Istighfar menjadi lebih jujur. Doa menjadi lebih mendalam. Kadang kadang kita tidak perlukan ramai orang untuk menenangkan kita. Kita hanya perlukan Allah. Dan malam adalah masa terbaik untuk melatih pergantungan ini.
Namun, cabaran besar malam Ramadhan ialah rasa mengantuk dan rasa malas. Ini normal. Tetapi jangan biarkan satu dua kali gagal terus membuat kita berhenti. Ibadah malam bukan untuk orang yang sempurna, tetapi untuk orang yang cuba. Jika tidak mampu bangun lewat malam, hidupkan malam selepas Isyak. Jika penat, lakukan yang ringkas tetapi berkualiti. Dua rakaat dengan khusyuk lebih baik daripada banyak rakaat dengan hati melayang. Al Quran beberapa ayat dengan tadabbur lebih baik daripada bacaan laju tanpa rasa.
Akhirnya, 13 Ramadhan ini mengingatkan kita bahawa malam adalah peluang untuk memulihkan iman. Jangan biarkan malam kita berlalu hanya dengan skrin dan hiburan. Bukan haram untuk berehat, tetapi rugi jika seluruh malam Ramadhan berlalu tanpa sedikit pun pertemuan dengan Allah. Jadikan malam sebagai ruang kita “mengisi semula” jiwa, supaya siang hari kita lebih kuat, lebih sabar, dan lebih bersih.
Ya Allah, bantulah kami menghidupkan malam Ramadhan dengan ibadah yang Engkau terima. Kurniakan kami hati yang ikhlas, doa yang tulus, dan kekuatan untuk bangkit walaupun sedikit. Jadikan sunyi malam sebagai jalan kami mengenalMu, dan mengenal diri kami sendiri. Amin.
Azmi Nias
3 Mac 2026
Azmi Nias
3 Mac 2026

Tiada ulasan:
Catat Ulasan