Alhamdulillah, kita kini berada pada 18 Ramadhan. Kita sudah berada jauh dalam perjalanan Ramadhan, dan semakin dekat dengan fasa hujung yang penuh keistimewaan. Dalam fasa ini, ramai orang menambah bacaan, menambah solat, menambah sedekah. Semua itu sangat baik. Tetapi ada satu amalan yang sering dilupakan, walaupun kesannya sangat besar terhadap ketenangan jiwa dan penerimaan ibadah iaitu memaafkan dan membersihkan hati.
Ramai orang rajin beribadah, tetapi hatinya masih kotor. Banyak solat, tetapi mudah melenting. Banyak membaca, tetapi cepat menghukum. Banyak sedekah, tetapi suka menyindir. Kadang kadang masalahnya bukan kurang amal, tetapi hati membawa beban yang tidak selesai seperti dendam, sakit hati, rasa tidak dihargai, kekecewaan lama, luka yang disimpan. Beban ini membuat hidup terasa sempit walaupun nikmat banyak. Ramadhan datang untuk membersihkan beban itu, supaya hati menjadi lapang dan ibadah terasa manis.
Memaafkan bukan perkara mudah. Sebab ia melibatkan ego dan emosi. Kita rasa, “Aku betul, dia salah.” Kita rasa, “Aku yang terluka, kenapa aku pula kena mengalah.” Tetapi Islam mengajar kita satu perspektif yang lebih tinggi yakni memaafkan bukan hadiah untuk orang yang menyakiti kita, tetapi hadiah untuk diri kita sendiri. Ia membebaskan hati daripada penjara emosi. Ia menutup pintu bisikan syaitan yang suka membakar kemarahan. Ia mengajar kita memilih ketenangan berbanding kemenangan ego.
Pada 18 Ramadhan ini, mari kita bezakan dua perkara iaitu hak dan hati. Kadang kadang, kita mungkin masih perlu menjaga sempadan. Memaafkan tidak bermaksud kita membenarkan kezaliman berulang. Tetapi memaafkan bermaksud kita tidak lagi membiarkan luka itu menguasai hidup kita. Kita lepaskan beban, kita serahkan urusan kepada Allah, dan kita bergerak ke depan. Ini bukan kelemahan tetapi ini kekuatan yang matang.
Ramadhan adalah masa terbaik untuk memaafkan kerana hati lebih lembut. Puasa mengajar kita menahan diri, tarawih melembutkan jiwa, al-Quran menyiram hati dengan rahmat. Dalam suasana ini, kita lebih mudah untuk mengaku, “Aku pun banyak salah.” Bila kita sedar dosa kita sendiri, kita akan lebih ringan untuk memaafkan manusia. Kita mahu Allah mengampunkan kita, maka kita pun belajar mengampunkan orang lain. Kerana siapa yang mahu rahmat Allah, dia perlu belajar membawa rahmat dalam hidupnya.
Satu lagi perkara penting yang perlu kita semua faham adalah, ada dosa yang tidak selesai dengan istighfar sahaja kerana melibatkan hak manusia. Mengumpat, memfitnah, menjatuhkan maruah, mengambil hak, menyakitkan hati, ini semua memerlukan kemaafan. Kadang kadang kita perlu berani meminta maaf, walaupun ego menolak. Meminta maaf bukan menurunkan maruah. Meminta maaf menaikkan darjat di sisi Allah. Ia tanda kita ada iman, bukan sekadar ada “image”.
Pada hari ke 18 ini, cuba buat satu amalan praktikal. Pilih satu nama yang selama ini kita simpan dalam hati, sama ada mungkin orang yang pernah menyakitkan, mungkin orang yang kita jauh, mungkin orang yang kita tidak bertegur. Angkat tangan dan doakan kebaikan untuk dia. Doa ini bukan kerana dia “layak”, tetapi kerana kita mahu hati kita sembuh. Bila kita doakan orang lain, perlahan lahan kebencian akan cair. Dan bila kebencian cair, ketenangan akan datang.
Memaafkan juga membuka pintu keberkatan dalam hubungan. Banyak masalah keluarga berlaku kerana masing masing menyimpan dendam. Suami simpan, isteri simpan. Anak simpan, ibu bapa simpan. Kawan simpan, rakan kerja simpan. Lama lama, hubungan jadi renggang. Ramadhan adalah peluang untuk memulakan semula (reset). Bukan semua perlu diselesaikan dengan perbincangan besar. Kadang kadang cukup dengan mesej ringkas, salam, senyuman, atau satu tindakan baik. Yang penting ialah kita memulakan.
Akhirnya, 18 Ramadhan mengingatkan kita bahawa kita mahu masuk fasa akhir Ramadhan dengan 'bergaya', masuk dengan hati yang ikhlas dan redho. Jangan bawa beban dendam ke malam malam yang mulia. Jangan bawa luka lama ke malam yang penuh doa. Bersihkan hati, supaya doa kita lebih jernih. Bersihkan hati, supaya ibadah kita lebih ikhlas. Bersihkan hati, supaya hidup kita lebih lapang.
Ya Allah, bersihkan hati kami daripada dendam, hasad, dan kebencian. Kurniakan kami kekuatan untuk memaafkan, dan keberanian untuk meminta maaf. Jadikan Ramadhan ini jalan untuk hati kami kembali lembut, lapang, dan dekat kepadaMu. Amin.
Azmi Nias
8 Mac 2026
Azmi Nias
8 Mac 2026

Tiada ulasan:
Catat Ulasan