Alhamdulillah, kita kini berada pada 11 Ramadhan. Ini bermaksud kita telah melangkah masuk ke fasa seterusnya selepas 10 hari pertama. Jika fasa awal sering dikaitkan dengan rahmat Allah, maka hari hari selepasnya mengajak kita untuk lebih serius tentang satu perkara yang sangat besar: keampunan. Ramadhan bukan hanya memberi kita peluang menambah pahala, tetapi peluang “membersihkan rekod” kehidupan. Dan 11 Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita bertanya dengan jujur: adakah kita benar benar mahu diampunkan, atau kita hanya mahu rasa Ramadhan tanpa meninggalkan dosa yang sama.
Keampunan Allah bukan sekadar perkataan yang sedap didengar. Ia satu keperluan. Kita mungkin nampak baik di mata manusia, tetapi kita sangat lemah di sisi Allah. Kita ada dosa yang kita sedar, dan dosa yang kita tak sedar. Ada dosa yang kita buat dengan sengaja, dan dosa yang berlaku kerana lalai. Ada dosa yang kita buat dalam diam, yang orang lain tidak tahu, tetapi Allah tahu. Sebab itu dalam Ramadhan, apabila pintu ampunan dibuka luas, orang beriman yang bijak tidak akan mensia siakannya.
Namun, ramai yang tersilap faham tentang keampunan dosa. Mereka menyangka cukup dengan menyebut istighfar, kemudian terus mengulang tabiat yang sama. Sedangkan taubat yang sebenar menuntut keberanian untuk berubah. Keberanian untuk memotong punca dosa, bukan sekadar merawat rasa bersalah. Contohnya, jika kita tahu mulut kita selalu melukai orang, maka taubat bukan hanya istighfar, tetapi belajar mengawal kata, meminta maaf, dan memperbaiki komunikasi. Jika kita tahu mata kita mudah “tersasar”, taubat bukan hanya menunduk sekejap, tetapi membina sempadan pada apa yang kita tonton dan lihat. Keampunan Allah itu luas, tetapi kita perlu jujur dalam usaha kembali.
Pada 11 Ramadhan ini, mari kita fokus pada satu amalan yang sering dianggap ringan tetapi sangat besar nilainya: istighfar yang hidup. Istighfar yang hidup bukan sekadar sebutan, tetapi disertai kesedaran. Bila kita sebut “Astaghfirullah”, biar hati merasai “Ya Allah, aku bersalah.” Bila hati rasa bersalah, ia akan lahirkan dua perkara: malu kepada Allah dan keazaman untuk tidak ulang. Malu itu penting kerana ia menjaga kita ketika tiada siapa melihat. Bila malu kepada Allah hidup, banyak dosa akan mati dengan sendirinya.
Selain itu, kita perlu sedar bahawa ada dosa yang melibatkan manusia, dan dosa ini tidak selesai hanya dengan istighfar. Mengumpat, memfitnah, memperlekeh, mengambil hak orang, menyakitkan hati pasangan, anak, rakan, atau ibu bapa yang semua ini berkait hak manusia. Jika kita benar benar mahu ampunan, kita perlu berani membetulkan hubungan. Kadang kadang satu mesej meminta maaf, satu panggilan memohon kemaafan, atau satu tindakan memulihkan keadaan lebih bernilai daripada banyak ibadah yang kita bangga banggakan. Kerana Allah suka hati yang merendah diri, bukan ego yang bersembunyi di balik ibadah.
Fasa ini juga mengajar kita tentang memaafkan orang lain. Ini bahagian yang ramai gagal. Kita mahu Allah ampunkan kita, tetapi kita berat untuk ampunkan manusia. Kita mahu ditutup aib, tetapi kita suka membuka aib orang. Sedangkan memaafkan adalah jalan untuk hati menjadi ringan. Dan hati yang ringan lebih mudah untuk dekat dengan Allah. Memaafkan bukan bermakna kita setuju dengan kesalahan orang, tetapi kita melepaskan beban yang merosakkan jiwa kita sendiri. Dalam Ramadhan, kita bukan hanya membersihkan dosa, tetapi membersihkan beban emosi.
Hari ke 11 ini juga sesuai untuk kita menyusun semula strategi Ramadhan. Jika 10 hari pertama kita banyak membina rutin, kini kita perlu membina kedalaman. Tambahkan muhasabah, tambah istighfar, dan betulkan tabiat. Jangan hanya kira berapa banyak ibadah, tetapi bertanya: apa yang sudah berubah dalam diri. Ramadhan yang berjaya bukan semata mata “berpuasa sebulan penuh”, tetapi “lahirnya The New Me” yang lebih lembut tindak tanduknya, lebih sabar, lebih jujur, dan lebih taat kepada Allah.
Ya Allah, kami masuk fasa ini dengan penuh harapan. Ampunkan dosa dosa kami yang banyak, dosa yang kami ulang, dosa yang kami sembunyikan, dan dosa yang kami tidak sedar. Kurniakan kami taubat yang tulus, hati yang mudah kembali, dan kekuatan untuk benar benar berubah. Jadikan Ramadhan ini sebab kami mendapat keampunanMu dan kembali kepadaMu dalam keadaan Engkau redha. Amin.
PM Dr MANA
1 Mac 2026
1 Mac 2026

Tiada ulasan:
Catat Ulasan