Alhamdulillah, kita kini berada pada 15 Ramadhan yakni titik tengah bulan yang mulia. Separuh Ramadhan telah berlalu, separuh lagi masih menanti. Hari ini seperti “checkpoint” besar yang Allah izinkan untuk kita berhenti seketika, melihat semula perjalanan, dan membuat keputusan penting sama ada adakah kita mahu meneruskan Ramadhan dengan lebih baik, atau kita mahu biarkan ia berlalu begitu sahaja. Titik tengah ini bukan untuk kita rasa selesa, tetapi untuk kita muhasabah dan memperkemas arah.
Ramadhan bergerak sangat pantas. Hari pertama kita masuk dengan azam, hari hari berikutnya kita menyesuaikan diri, dan kini kita sudah berada di pertengahan. Ini isyarat bahawa masa tidak pernah menunggu kita. Jika separuh bulan berlalu tanpa banyak perubahan, jangan putus asa—tetapi jangan juga terus lena. Kerana separuh yang tinggal ini mungkin peluang terakhir untuk kita meraih apa yang kita cari: keampunan, pembaikan diri, dan hati yang lebih dekat kepada Allah.
Pada 15 Ramadhan ini, mari kita buat muhasabah diri yang jujur dalam tiga perkara:
1. ibadah
1. ibadah
2. akhlak
3. dosa
Pertama, ibadah. Adakah solat kita semakin terjaga atau semakin longgar. Adakah tarawih kita semakin berkualiti atau sekadar bagai melepaskan batuk di tangga. Adakah al Quran sudah menjadi rutin atau masih “kalau sempat”. Muhasabah ini bukan untuk rasa bersalah semata mata, tetapi untuk membina strategi. Jika kita lemah pada bacaan al Quran, jangan tunggu akhir bulan. Mulakan hari ini dengan target kecil tetapi konsisten. Jika tarawih terasa berat, perbaiki rehat dan makan, bukan tinggalkan ibadah. Jika doa makin kurang, kembali hidupkan doa ketika berbuka dan selepas solat.
Kedua, akhlak. Ramadhan sepatutnya melembutkan kita. Puasa yang berjaya bukan hanya menahan makan, tetapi menahan marah, menahan lidah, dan menahan ego. Pada hari ke 15 ini, tanya diri sama ada adakah aku lebih sabar berbanding sebelum Ramadhan. Adakah aku lebih cepat memaafkan. Adakah aku lebih menjaga kata kata. Jika belum, ini masa untuk betulkan. Akhlak adalah tanda paling jelas sama ada Ramadhan sedang mendidik kita atau tidak.
Ketiga, dosa. Setiap orang ada dosa yang berulang. Ada yang berulang pada pandangan. Ada yang berulang pada lidah. Ada yang berulang pada media sosial. Ada yang berulang pada solat yang dilengah lengahkan. Ramadhan adalah masa untuk “memutuskan kitaran” dosa, bukan sekadar mengurangkan. Jika kita mahu perubahan yang hakiki, kita perlu berani berhenti pada puncanya. Taubat bukan hanya menyesal, tetapi berhenti dan membina benteng. Hari ini, pilih satu dosa yang paling kerap, dan mula bina bentengnya secara praktikal.
Titik tengah Ramadhan juga mengajar kita tentang keikhlasan. Pada awal Ramadhan, semangat tinggi kerana suasana. Pada hujung Ramadhan, semangat tinggi kerana mengejar malam akhir. Tetapi di tengah tengah, ibadah kita benar benar diuji sama ada adakah kita beramal kerana Allah atau kerana “mood Ramadhan”. Jika kita mampu terus beramal dalam fasa pertengahan yang motivasi sedikit berkurangan, itu tanda ikhlas kita sedang dibina. Ikhlas tidak lahir ketika mudah, ikhlas lahir ketika kita terus melakukan kebaikan walaupun tiada siapa memuji dan walaupun hati tidak “rasa apa apa”.
Pada 15 Ramadhan ini, elok juga kita susun semula rancangan untuk separuh akhir. Jangan letak rancangan yang terlalu besar sampai membebankan. Letak rancangan yang realistik!
Azmi Nias
5 Mac 2026

Tiada ulasan:
Catat Ulasan