27 Jun 2026

2026 06 27 PELANTIKAN EN. MUKHRIZ BIN MOHAMED SEBAGAI AHLI JAWATANKUASA INDUK NAAM SESI 2026–2029

KUALA LUMPUR, 27 Jun 2026 – En. Mukhriz bin Mohamed, Penolong Pegawai Sukan Kanan (S6), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Induk Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) bagi sesi 2026–2029.

Pelantikan ini dibuat bersempena Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-50 Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di Hotel Maluri, Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut menjadi platform penting dalam menentukan kepimpinan baharu NAAM serta memperkukuh hala tuju pembangunan sukan memanah negara bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Untuk rekod, En. Mukhriz bin Mohamed sebelum ini telah diberi kepercayaan dalam Jawatankuasa Teknikal & Pertandingan NAAM, yang memainkan peranan penting dalam aspek pengurusan teknikal, penyelarasan pertandingan dan pemantapan standard penganjuran kejohanan memanah. Walau bagaimanapun, bagi sesi 2026–2029, portfolio khusus ahli jawatankuasa masih belum ditetapkan.

Pelantikan En. Mukhriz bin Mohamed sebagai Ahli Jawatankuasa Induk NAAM merupakan satu pengiktirafan terhadap pengalaman, komitmen dan sumbangan beliau dalam pembangunan sukan memanah, khususnya melalui penglibatan aktif dalam aspek teknikal, penganjuran kejohanan dan pembangunan ekosistem memanah di peringkat negeri serta kebangsaan.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut sebagai perwakilan Persatuan Memanah Negeri Pahang ialah Presidennya, Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi Nias Ahmad, En Mukhriz Mohamed dan En Fauzy Musa. 
Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-50 ini turut membawa makna besar kepada warga memanah negara kerana ia menandakan kesinambungan usaha NAAM dalam memperkukuh struktur kepimpinan, meningkatkan kualiti penganjuran kejohanan, memperkasakan pembangunan bakat serta memperluas kerjasama strategik bersama persatuan negeri, institusi pendidikan, agensi sukan dan komuniti memanah.

Tahniah diucapkan kepada En. Mukhriz bin Mohamed atas pelantikan ini. Semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi, integriti dan profesionalisme demi kemajuan sukan memanah Malaysia.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan